Wednesday, November 24, 2010

pencuri..

jam 6.30 pagi;
adik bongsu saya kelam kabut mencari beg sekolahnya yang berisi alatan tulis, kad pengenalan dan slip peperiksaan SPM. cari dan cari tapi gagal juga ditemui. pagi tu tiba-tiba rumah jadi riuh rendah , semua ahli rumah bangun menjalankan operasi "ops beg sekolah". kasihan adik, musibah apa pula awal-awal pagi begini yang sepatutnya dimulakan dengan tenang dan aman agar konsentrasinya terhadap peperiksaan tidak terjejas. puas mata melilau sampai keluar rumah mencari, takut-takut tertinggal di dalam kereta. akhirnya, berjaya juga menemui barang-barang yang dilaporkan hilang itu, di tepi kereta.. di luar laman. barang ada tapi beg entah ke mana. terkejut! tapi lebih kepada kehairanan.

7. 20 pagi :
sesi pujuk memujuk, salam-salaman serta ucapan good luck!.. emosi adik kembali stabil dan dia ke sekolah sebagai calon SPM bagi kertas bahasa inggeris pada hari itu. semoga adik fokus dan tidak terbawa-bawa akan kekecohan pagi tadi.

8.00 pagi :
alang-alang dah bangun awal pagi, memang hajat nak mengemas rumah sebelum bertolak ke tempat kerja. satu lagi operasi " ops sapu dan mop". person in charge ialah saya dan adik yang seorang lagi. tangan dan kaki ligat bekerja.. sambil memerah otak memikirkan hal pagi tadi. kami agak musykil bagaimana barang-barang adik boleh berada di laman rumah ( tambah menghairankan dalam keadaan tersusun elok) sedangkan kami tahu , awal malam sebelumnya, dia sudah siap sedia segala peralatan yang perlu dibawa di satu sudut khas di dalam bilik. ramalan awal ibu adik begitu taksub dengan SPM sampai berjalan dalam tidur. alasan itu, pada keadaan seperti ini sesuatu yang teramat mustahil. sementara itu, saya dan adik masih dengan aktiviti mengemas tanpa ada apa-apa syakwasangka lain berkenaan hal yang terjadi awal pagi tadi.

9.00 pagi :
masih lagi mencari konklusi peristiwa pagi tadi sehinggalah akhirnya saya menyedari bahawa objek pertama yang akan saya lihat tatkala masuk ke dalam bilik sudah tidak kelihatan di tempatnya. kaget sebentar tapi masih tidak mahu membuat kesimpulan terlalu cepat. saya mencari laptop asus di bawah-bawah timbunan bantal atau kain baju kalau-kalau saya tersilap letak... tiada jejak... yang ditemui hanya lah soket charger yang dicabut sambungannya dari charger, dengan charger nya sendiri juga hilang. ( dungu! kenapa tidak diambil saja semua sambungannya). dan.. kini persoalan tadi seakan-akan sudah mula terjawab dengan sendirinya.

belum sempat memikirin apa pun, satu lagi impuls saraf dihantar mengingatkan saya akan beg tangan yang diletakkan di atas sofa di ruang tamu bawah. tak perlu turun untuk mencari, teringat tadi saat saya mengemas ruang tamu memang tidak ada beg tangan di situ. mengeluh pendek, dalam.. dan keletihan bunyinya. oh! rupanya bukan adik yang ditimpa musibah tapi saya.

segala identiti diri, kad atm, lesen dan wang sudah dikebas pencuri. laptop kesayangan juga dibawa lari. itu satu hal, urusan susulan, dengan segala laporan dan pembaharuan kad juga yang harus dibuat. letih begini..

saat mendapat tahu kehilangan kad atm, saya segera menelefon pihak bank untuk mematikan penggunaan kad atm tapi sedikit kelewatan kerana jam 7.53 minit pagi tadi sudah ada pengeluaran wang tunai dilakukan si penjenayah. ah! apa lagi mahu dikatakan.. redha sajalah..

tapi alhamdulillah hari malang ini aku lalui dengan penuh tenang dan segala urusan dipermudahkan. di balai polis, orang tidak ramai dan urusan dapat diselesaikan dengan segera. di pejabat pendaftaran juga begitu. jangan bebankan mood anda dengan tekanan walaupun situasi menekan anda kerana sikap negatif hanya akan memburukkan lagi keadaan sedia ada. saya pernah menyatakan pada rakan, ada 2 perkara yang boleh merosakkan mood ceria saya, 1) panas terik 2) tempat yang sesak dengan manusia.. maka benarlah.. kehilangan wang dan harta masih belum mampu menggugat mood baik saya..

sekali lagi ayah menjadi hero.. menambah sejuk di hati.. saya suka bila ayah mula menitipkan bicara ala-ala orang bijak pandainya.. kata ayah..
" ingat tak bulan-bulan sudah ada orang tersalah masuk duit ke dalam akaun Na.. hampir 2 ribu lebih, tak tahu duit siapa, datang dari mana.. jadi anggaplah kejadian hari ini sebagai rahmat dari tuhan.. mungkin tuhan nak selamatkan Na dari makan duit haram ke atau ada lah something yang kita tak tahu dari kejadian ini ".. saya mengangguk setuju, tiba2 rasa berdosa pula kerana tidak membuat apa-apa laporan berkenaan kemasukan duit misteri ke dalam akaun saya suatu masa dulu. ia inilah hikmahnya barangkali... duit misteri itu bukan uang saya, jadi saya harus bayar dengan kehilangan harta-benda ini..

maha suci Allah, yang menghairankan aku ialah bagaimana pencuri itu boleh digerakkan hatinya untuk meninggalkan segala barang-barang di dalam beg sekolah adik di laman rumah dalam keadaan yang begitu tersusun ( tidak bersepah-sepah ). mungkin berkat dia berpuasa pada hari itu..

sejujurnya, jauh di sudut hati saya berasa amat-amat bersyukur kerana keluarga tidak diapa-apakan oleh si pencuri. mengenangkan si pencuri berjalan masuk ke dalam bilik saya ketika saya dan adik lena diulik mimpi.. mungkin boleh menjadi satu pengalaman yang mengundang fobia. alhamdulillah kami tidak terjaga untuk melihat keadaan itu.. alhamdulillah tidak berlaku aksi ganas / seksual ketika itu .. ya jika dibandingkan dengan apa yang hilang, ini bukan apa-apa..

p/s - saya cuma hilang harta.. ada mangsa yang hilang nyawa, hilang dara..

1 comment:

Mr Swat said...

sabarrr yer ... kakna